IPOH – Seorang lelaki berusia 57 tahun ditemukan maut dengan kesan tikaman di perut dalam satu kejadian tragis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Tasek Damai, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan anak mangsa ditahan di hadapan rumah berkenaan pada jam 12.15 tengah malam bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan penting bagi siasatan termasuk sebuah telefon bimbit, kamera papan pemuka kereta dan dekoder kamera litar tertutup (CCTV).
“Mangsa yang bekerja sambilan sebagai penjual produk kesihatan tinggal bersama suspek di rumah tersebut. Kali terakhir mangsa menghantar mesej adalah sekitar jam 2.40 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, hasil temu bual mendapati suspek memaklumkan pintu pagar rumah dalam keadaan tertutup manakala pintu jeriji dan pintu cermin terbuka semasa dia pulang ke rumah.
“Suspek turut memaklumkan keadaan ruang tamu berselerak sebelum menemui bapanya terbaring tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di ruang dapur,” katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, pemeriksaan awal menemukan kesan tikaman di bahagian kanan perut serta kesan hirisan di dada kanan mangsa.
“Siasatan forensik di lokasi kejadian turut menemui sebilah pisau kecil berhulu kayu berukuran 22 sentimeter di atas sinki dapur yang dipercayai telah dibersihkan dan digunakan sebagai senjata,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.



