
PADANG BESAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebanyak 1.98 tan daun ketum bernilai lebih RM108,625 dalam tiga serbuan berasingan di kawasan semak berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, hujung Mei lalu.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, rampasan tersebut membabitkan tiga buah kenderaan dan lebih 70 bungkusan guni mengandungi daun ketum yang ditinggalkan sebelum diambil sindiket.
“Dalam kes pertama pada 30 Mei lalu, sepasukan anggota Kastam Unit Narkotik membuat pemeriksaan ke atas sebuah Mitsubishi Pajero yang ditinggalkan di kawasan semak dan menemui 23 guni daun ketum seberat 647 kilogram dengan nilai RM35,585. Nilai kenderaan turut disita dianggarkan RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes kedua pula melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax yang diperiksa di lokasi hampir sama, juga pada 30 Mei.
“Hasil pemeriksaan menjumpai 38 guni berisi 1,036 kilogram daun ketum dengan nilai pasaran RM56,980. Kenderaan tersebut turut disita dengan nilai anggaran RM80,000,” ujarnya.

Sementara itu, katanya lagi, dalam kes ketiga pada 31 Mei, serbuan dilakukan di kawasan semak ladang berhampiran sempadan yang membawa kepada penemuan 10 guni berisi 292 kilogram daun ketum bernilai RM16,060.
Semua rampasan itu melibatkan daun ketum yang mengandungi bahan aktif mitragynine yang disenaraikan dalam Jadual Pertama dan Ketiga, Akta Racun 1952.
Modus operandi kesemua kes adalah sama iaitu meninggalkan bungkusan atau kenderaan berisi daun ketum sebelum ia diambil oleh individu lain yang dipercayai ahli sindiket penyeludupan.
“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.


