MCMC, PDRM kerjasama banteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian sepanjang tempoh Januari hingga 15 Jun 2025.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 peratus atau 1,415 kandungan berjaya diturunkan menerusi tindakan segera hasil kerjasama erat antara MCMC, penyedia platform digital serta laporan awam.

Menurut kenyataan bersama MCMC dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), PDRM, tindakan proaktif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi berkenaan dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian melalui penguatkuasaan dan pendidikan kesedaran.

“Tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda hingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, perbuatan menghasilkan, menyebar, berkongsi, menjual, membeli, membuat capaian dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak juga merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 hingga 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, operasi khas seperti ‘Op Pedo’ yang dijalankan pada Disember 2024 turut membuahkan hasil apabila 13 individu berjaya ditahan dan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas dari beberapa buah negeri.

Sebagai pendekatan holistik, MCMC turut mempergiatkan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam menerusi Kempen Internet Selamat (KIS) yang disasarkan kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat umum.

Salah satu penekanan penting dalam kempen ini ialah larangan pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak berumur 13 tahun dan ke bawah.

Justeru, MCMC dan PDRM menyeru semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti, pemilik platform digital dan pengguna Internet agar bersama-sama memainkan peranan membanteras jenayah ini.

“Setiap laporan awam akan membantu siasatan dan mencegah lebih banyak penganiayaan.

“Segera laporkan sebarang aktiviti dalam talian yang mencurigakan kepada MCMC melalui e-mel di aduanskmm@mcmc.gov.my, portal https://aduan.mcmc.gov.my, atau terus ke balai polis berhampiran,” katanya.

Related Posts

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

MIRI – Kesemua lima individu yang menaiki helikopter berdaftar 9M-LLF ditemukan maut di dalam bangkai pesawat yang terhempas dan terbakar di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang pada petang Selasa.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH
  • AdenAden
  • September 9, 2026

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan Tabung Haji (TH) termasuk bekas pengerusinya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH

  • By Aden
  • September 9, 2026
PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH

Tidak benar Ismail letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Tidak benar Ismail letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Di Malaysia PM tolak gaji, di Singapura nilai gaji PM melonjak 64 peratus

Di Malaysia PM tolak gaji, di Singapura nilai gaji PM melonjak 64 peratus

Merdeka bukan lesen memutar sejarah, Islam terpelihara rekod politik wajar dinilai

Merdeka bukan lesen memutar sejarah, Islam terpelihara rekod politik wajar dinilai

Persiapan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 di Sabah giat diselaraskan

  • By Ezmie
  • September 9, 2026
Persiapan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 di Sabah giat diselaraskan