PUTRAJAYA – Pekerja yang menerima bayaran di bawah RM1,700 disarankan untuk membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan berkata, jika aduan itu disahkan oleh mahkamah, majikan boleh diarahkan membayar perbezaan gaji dan elaun yang terjejas, selaras dengan Seksyen 44 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
“Semua pihak wajib mematuhi peraturan gaji minimum ditetapkan bagi melindungi kebajikan dan hak pekerja di negara ini.
“Kesuma tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang pelanggaran di bawah Akta 732,” kata kenyataan itu.
Sabtu lalu, media melaporkan terdapat pemandu bas ekspres dan persiaran menerima gaji pokok serendah RM700 sebulan, manakala sebahagian lagi langsung tidak menerima gaji asas.
Kenyataan KESUMA turut menyebut, mengikut Perintah Gaji Minimum 2024, majikan wajib memastikan pekerja menerima gaji minimum ditetapkan – iaitu RM1,700 sebulan – tanpa mengira sama ada dibayar melalui struktur gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.





