
USAHA Kerajaan MADANI mengambil alih kesemua projek sakit di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang terdapat di negara ini membuktikan keprihatinan tinggi dimiliki barisan pemimpin hari ini.
Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, meskipun terpaksa menanggung kos tambahan selepas projek di bawah seliaan pemerintahan terdahulu gagal disiapkan, namun ia bukan halangan untuk kerajaan hari ini melaksanakan perkara itu.
“Usaha menyelamat dan memulihkan projek-projek ini bukanlah mudah ia memerlukan perancangan yang teliti, komitmen yang berterusan, serta kesungguhan dalam memastikan amanah kepada rakyat dapat ditunaikan.
“Maka sebab itulah, PR1MA diberi nafas baharu agar impian rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik tidak terus menjadi angan-angan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, tindakan itu sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan yang memahami keperluan kediaman sebagai simbol kestabilan, maruah dan impian setiap keluarga.
“Usaha berterusan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam merealisasikan impian rakyat memiliki kediaman selesa dan mampu milik.
“Ini merupakan satu pencapaian besar hasil kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, pihak kontraktor dan semua pemegang taruh,” katanya.
Sejak April lalu, sebanyak 31 daripada 34 projek sakit PR1MA di seluruh negara telah berjaya disiapkan, merangkumi 20,470 unit kediaman setakat April lepas.
Manakala baki tiga lagi projek, iaitu masing-masing dua di Melaka dan satu di Kedah, dijangka siap menjelang akhir tahun ini dengan sokongan penuh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi berkaitan.


