
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi kemalangan bas yang setakat ini mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
“Kejadian ini merupakan satu kehilangan besar kepada sektor pendidikan tinggi negara.
“Salam takziah untuk keluarga mangsa kemalangan yang turut membabitkan warga UPSI awal pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan ringkas di Facebook pagi ini.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.

Seramai 13 pelajar itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa maut di Hospital Gerik.
Difahamkan bas UPSI itu dalam perjalanan ke kampus Universiti itu dari Jerteh, Terengganu.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataannya berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Banun menerima panggilan berhubung kejadian yang melibatkan 48 orang mangsa itu pada pukul 1.10 pagi.
Katanya, anggota APM yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.11 pagi mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dengan sebuah bas yang telah terbalik.
“Anggota APM telah membawa beberapa mangsa yang cedera ke Hospital Gerik, antaranya mereka yang mengalami kecederaan patah tangan, patah kaki Dan cedera ringan,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata, ada mangsa kemalangan bas membawa pelajar UPSI yang berjaya keluar sendiri menyelamatkan diri, malah ada yang tercampak selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
Katanya, sebaik tiba, bomba mendapati ada mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
Menurutnya, pegawai dari anggota bomba dan penyelamat (BBP) Gerik dan Jeli dikejarkan ke lokasi kejadian, iaitu membabitkan 17 orang, Polis Diraja Malaysia (10), pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (21) dan Angkatan Perkhidmatan Awam (empat).
Nor Hisham memaklumkan ketua operasi melakukan ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep ‘saver’ dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas.






