
KLUANG – Penantian selama 12 tahun buat hampir 50 pembeli kediaman di Taman Permata Layang, Simpang Renggam, di sini, berakhir apabila projek yang telah bermula lebih sedekad itu kini siap.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua 47 bakal penghuni kini berjaya memperoleh Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), sekaligus membolehkan mereka untuk menghuni kediaman berkenaan dalam tempoh terdekat.
“Rumah yang berharga RM42,000 seunit ini sememangnya diimpikan mereka sejak sekian lama. Apatah lagi ia dijual khusus buat golongan yang memerlukan termasuk para mangsa banjir.
“Secara peribadi, projek ini sangat dekat di hati saya kerana ia berada dalam kawasan saya sendiri, di Simpang Renggam dan telah saya perjuangkan sejak mula menjadi wakil rakyat.
“Proses untuk menyelesaikannya bukan mudah, ia memerlukan pelbagai intervensi, turun padang, pengurusan terperinci dan kerjasama erat antara pelbagai agensi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berharap supaya usaha itu menjadi titik tolak kepada lebih banyak penyelesaian projek terbengkalai di Johor.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek sakit tersebut terpaksa melalui lima siri mesyuarat intervensi yang dipengerusikan oleh beliau.
“Tiga lawatan susulan saya laksanakan termasuk memantau laporan bulanan. Setiap isu sama ada paip pecah, longkang retak, kabel putus mahupun pelan sewer yang tidak tepat kita selesaikan satu persatu.
“Cabaran paling besar ialah membaik pulih sistem pembetungan yang kedalamannya mencecah 10 meter, jauh berbeza dari pelan asal. Proses ini amat kompleks dan berisiko, hingga menyebabkan kerosakan infrastruktur seperti paip, longkang dan kabel bawah tanah.
“Tambahan pula, faktor cuaca, tanah keras serta kenaikan harga bahan binaan memberi tekanan besar kepada pelaksanaan projek. Namun dengan ketekunan semua pihak dan pengurusan mikro, setiap cabaran berjaya diselesaikan,” katanya yang turut sama hadir ke sesi penyerahan SLMR berkenaan.
Ujar beliau, usaha keras yang dimainkan semua pihak membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited dan cakna dalam membantu kebajikan rakyat meskipun daripada golongan B40 dan M40.







