
PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya Malaysia berani mencipta model baharu dengan menubuhkan Kumpulan Wang Simpanan Penggiat Gig (KWSPG), sebagai institusi khusus bagi simpanan persaraan sektor tersebut.
Ketua Aktivis, Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, lebih sejuta rakyat ketika ini bergantung kepada ekonomi gig yang tidak memiliki caruman wajib, skim persaraan dan terdapat di kalangan mereka tidak diberi pendedahan secara khusus tentang perlindungan masa hadapan.
Menurutnya, perkara itu terbukti menerusi statistik dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mendedahkan lebih separuh pencarum hanya mempunyai simpanan di bawah RM10,000.
“Bayangkan mereka yang langsung tidak mencarum? Keadaan dalam kalangan pekerja gig amat membimbangkan. Ramai beroperasi secara harian, bergantung kepada aplikasi, mengejar insentif mingguan tanpa ada ruang, masa atau pengetahuan untuk membina simpanan masa hadapan.
“Saya melihat semakin ramai pekerja gig menghampiri usia persaraan tanpa simpanan, perlindungan, dan masa depan yang jelas. Ia bukan isu peribadi, tetapi satu krisis sistemik yang sedang membentuk generasi berisiko “hilang”, bukan secara fizikal, tetapi dari segi keupayaan ekonomi dan maruah sosial ketika usia senja,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Sehubungan itu, Jose berpandangan, KWSPG perlu dilaksana meliputi caruman mandatori dua hala, di antara syarikat platform dan pekerja gig selain memperkenalkan insentif padanan kerajaan, terutama untuk golongan B40.
Menurut beliau, keperluan juga Majlis Tetap Ekonomi Gig Malaysia dipantau secara berterusan serta holistik, bagi menjamin ketelusan dan pelaksanaan sebenar, bukan sekadar dasar atas kertas.
“Kita perlu memilih sama ada mahu membina sistem yang inklusif, atau membiarkan jutaan pekerja gig terperangkap dalam kitaran kemiskinan ketika usia persaraan. Negara yang menghargai kemajuan digital tidak boleh meminggirkan manusia di sebaliknya.
“Mereka bukan beban, mereka adalah pemacu. Mereka bukan alat tetapi adalah warga. Mereka juga layak untuk bersara dengan maruah. Gagal melindungi mereka hari ini, bererti kita sedang mencipta generasi yang bakal hilang,” katanya.
Sementara itu, Jose memaklumkan, dasar yang dicadangkan pihak itu dilaksana selepas syarikat ekonomi gig mencipta pelbagai alasan untuk mengelak daripada mewajibkan caruman KWSP kepada pekerja.
“Syarikat platform sering menjulang naratif kebebasan bekerja sendiri sebagai alasan untuk tidak mencarum. Mereka menggelar pekerja sebagai rakan kongsi bebas, satu istilah yang membebaskan mereka daripada tanggungjawab sosial dan undang-undang buruh.
“Namun realitinya, struktur kerja gig adalah terurus, bergantung kepada algoritma, dan penuh pemantauan. Ia lebih menyerupai hubungan pekerjaan daripada keusahawanan bebas.
“Apabila keuntungan diswastakan, tetapi risiko ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, itu bukan perkongsian. Itu adalah eksploitasi moden yang dibungkus dalam jenama korporat,” katanya.

