Azam pemangkin SPRM dipercayai rakyat, tidak gentar ‘londeh’ tauke besar

PUTRAJAYA – Keupayaan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memimpin siasatan melibatkan penyelewengan dana awam dan aktiviti pengubahan wang haram menjadi pemangkin kepada peningkatan kepercayaan rakyat terhadap institusi terbabit.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengiktiraf SPRM di bawah kepimpinan Azam telah berjaya menunjukkan anjakan keberanian dan kecekapan dalam menyiasat kes-kes berprofil tinggi, termasuk melibatkan ahli politik, pegawai kanan kerajaan dan tokoh korporat besar.

Menurut beliau, kepimpinan yang berintegriti, berpengalaman serta berani membuat keputusan tanpa tunduk kepada tekanan politik wajar dipertahankan dan dijadikan model untuk masa hadapan dalam memperkukuh SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan yang bebas, profesional dan berani.

“MCW mengambil serius kenyataan YAB Perdana Menteri yang menyatakan bahawa Azam merupakan individu paling tepat menerajui SPRM pada masa ini.

“Kenyataan tersebut adalah satu pengiktirafan terhadap keberanian dan ketegasan SPRM dalam menyiasat tokoh-tokoh besar yang selama ini jarang disentuh oleh agensi penguatkuasaan

“Kita sokong mekanisme pelantikan sedia ada bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, sebagaimana juga pelantikan bagi jawatan tinggi lain dalam kerajaan seperti Ketua Audit Negara dan Peguam Negara. Proses ini dilihat rasional dan telah diterima masyarakat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan menyambung kontrak Azam meskipun menerima teguran daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang.

Menurut Anwar, beliau tidak menafikan teguran yang dibangkitkan namun yakin SPRM di bawah kepimpinan Azam telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani rasuah berskala besar.

Beliau menekankan buat pertama kali dalam sejarah beliau melihat badan siasatan itu lebih berani bertindak terhadap individu yang mempunyai kekayaan berbilion ringgit termasuk ‘tauke-tauke besar’.

Sementara itu, Jais berpandangan, Pengganti kepada Ketua SPRM pada masa depan harus dipilih dalam kalangan pegawai kanan SPRM sendiri, bagi memastikan kesinambungan dasar, operasi dan pengurusan agensi dapat diteruskan secara berkesan.

Menurutnya, pegawai dalaman lebih memahami sistem kerja SPRM, budaya organisasi serta cabaran operasional di lapangan.

“Sekiranya individu luar dilantik, masa yang panjang akan diperlukan untuk memahami struktur dan tanggungjawab SPRM yang kompleks.

“Lebih utama, pengganti yang dilantik perlu bersedia menimba ilmu serta mengambil iktibar daripada pengalaman luas Tan Sri Azam Baki demi kesinambungan agenda pembanterasan rasuah negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Jais berkata, sebarang pemberhentian mengejut terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM mestilah dilakukan melalui sebuah tribunal khas yang bebas dan profesional.

Jelasnya, langkah terbabit penting bagi memastikan ketelusan, mengelakkan sebarang campur tangan politik serta menjaga maruah institusi tersebut sebagai entiti bebas yang bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“MCW menyokong penuh usaha untuk memperkukuh SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan yang bebas, profesional dan berani.

“Justeru, MCW menggesa semua pihak menghormati peranan dan tanggungjawab SPRM dalam melaksanakan tugas, beri sokongan terhadap usaha reformasi institusi yang dapat meningkatkan integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei lalu, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Related Posts

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

IPOH – Pemuda Parti Amanah Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti sumber kekayaan yang dikaitkan dengan anak-anak bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke New Delhi, India malam ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18, selepas selesai lawatan kerja beliau di Sabah.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

Mahfuz saran Zahid tidak bawa ‘politik budak-budak’ ke Putrajaya

Mahfuz saran Zahid tidak bawa ‘politik budak-budak’ ke Putrajaya

Wawasan tembusi tiga bahagian Bersatu Perlis

Wawasan tembusi tiga bahagian Bersatu Perlis

Dua kenderaan bertembung, dua maut

Dua kenderaan bertembung, dua maut

Pertikai istilah Kerajaan MADANI hanya helah UMNO mahu PRU16 disegerakan

Pertikai istilah Kerajaan MADANI hanya helah UMNO mahu PRU16 disegerakan