Penghormatan terakhir mangsa nahas trak FRU selesai

IPOH – Sembilan jenazah anggota Pasukan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Kilometer 15,Simpang Tangki Air di Langkap, Teluk Intan, selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pagi Rabu.

Diberikan istiadat kepahlawanan PDRM, kesemua jenazah dan jasad yang keranda dilitup dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, tiba di FRU Unit 5,Sungai Senam, di sini, pada 3.46 pagi.

Ketibaan jenazah dan jasad turut diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Lebih 500 orang termasuk kepimpinan Kerajaan Negeri, waris mangsa dan anggota polis turut sama menyaksikan perjalanan terakhir perwira negara itu.

Terdahulu, jenazah dan jasad kesemua anggota FRU itu dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada 12.33 tengah malam selepas usai bedah siasat.

Tujuh jenazah yang beragama Islam dibawa ke Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk disolatkan dan diimamkan oleh Ahmad Kamil Ibrahim dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Selesai istiadat, kesemua sembilan jenazah anggota FRU itu dibawa ke lokasi masing-masing untuk dikebumikan.

Jasad mendiang S Perumal dibawa ke Krematorium Buntong, di sini manakala mendiang Koperal Nurit Pandak dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, di sini pada jam 4.50 pagi tadi.

Jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian kepahlawanan dan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar, 53.

Anggota yang terkorban adalah Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41;Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38;Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28;Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35;Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46;Sarjan S Perumal dan Koperal Nurit Pandak.

Manakala sembilan lagi anggota FRU yang turut cedera sedang dirawat di Hospital Teluk Intan dan Ipoh.

Sebelum ini, media melaporkan 18 anggota FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak, terlibat dalam nahas dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, pagi Selasa.

Tragedi itu, mengorbankan sembilan anggota manakala sembilan lagi mengalami kecederaan.

Lapan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

Related Posts

Anwar mahu rundingan PH-BN elak pertembungan di Johor

JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mencari penyelesaian…

Lebih lanjut

teruskan membaca
JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI

JOHOR BAHRU – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) disifatkan sebagai antara bukti keberkesanan pelaksanaan dasar ekonomi di bawah Kerajaan MADANI dalam merancakkan pertumbuhan pelaburan negara, khususnya di Johor. Ketua Setiausaha…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kalau rasa nak ubah PM, tunggu pilihan raya – Mohamad Sabu

Kalau rasa nak ubah PM, tunggu pilihan raya – Mohamad Sabu

United tewaskan Forest, Carrick hampir pasti kekal sebagai pengurus pasukan

United tewaskan Forest, Carrick hampir pasti kekal sebagai pengurus pasukan

Kampung Angkat MADANI RM1 juta Kampung Haji Wahed siap sepenuhnya

Kampung Angkat MADANI RM1 juta Kampung Haji Wahed siap sepenuhnya

Sambutan Gawai ke-20 meriah, semangat perpaduan terus diperkukuh

Sambutan Gawai ke-20 meriah, semangat perpaduan terus diperkukuh

Anwar mahu rundingan PH-BN elak pertembungan di Johor

Anwar mahu rundingan PH-BN elak pertembungan di Johor

JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI

JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI