Nga Kor Ming
KUANTAN – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, secara sinis mengundang Ahli Parlimen pembangkang yang menentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) mendiami flat usang bersama keluarga mereka.
Sindiran itu dibuat selepas ketiadaan Ahli Parlimen pembangkang ketika lawatan ke empat lokasi projek PSB pada 29 April lalu, meskipun Kor Ming mengundang mereka secara rasmi sebanyak dua kali.
“Ada ular sawa dekat satu flat. Kepada Ahli Parlimen yang bantah PSB, saya jemput bawa isteri dan anak duduk sana tanpa bayar sewa. Rasai sendiri apa yang dialami golongan miskin bandar.
“Saya jemput mereka dua kali. Mereka setuju, tetapi tak hadir. (Mereka) ‘Ponteng’ lagi, bukan saja Parlimen, program bantu rakyat pun mereka tidak datang,” katanya kepada media ketika program Sentuhan Kasih di Kampung Cempaka, hari ini.
Kor Ming berkata, bagi mereka yang menentang PSB tidak kira bergelar Tun, Tan Sri atau Datuk Seri, borang permohonan sudah disediakan.
“Kalau (Ahli Parlimen) sanggup, saya tawarkan unit kosong kepada anda.
“Jangan hanya tinggal di banglo, diami flat untuk memahami maksud sebenar PSB, jangan halang kita bantu rakyat,” katanya lagi.
Pada 29 April lalu, Kor Ming mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen melawat empat lokasi pembaharuan bandar sekitar Kuala Lumpur bagi memberi pemahaman lebih mendalam tentang kepentingan PSB dan impaknya kepada komuniti setempat.
Namun, tiada seorang pun wakil pembangkang hadir dalam lawatan itu meskipun mereka terus mempolitikkan isu berkenaan.



