
ALOR SETAR – Pengulas sukan, Datuk Jasni Shafie berharap skuad bola sepak Kedah terus diberi ‘nyawa’ untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.
Beliau yang juga anak jati Kedah berkata, agak malang jika bola sepak negeri ini terkubur kerana ia satu-satunya sukan paling popular membabitkan lapisan kepimpinan tertinggi hingga lapisan bawahan sejak sekian lama.
“Jika Kedah dibiarkan tenggelam dan menarik diri dari kancah Liga Super, ia satu kerugian besar buat negeri kerana Kedah yang kita tahu memiliki begitu ramai pemain berbakat dan jumlah penyokong yang antara tertinggi berbanding pasukan lain.
“Bola sepak di Kedah ini umpama bola sepak di Brazil, cuma di Kedah ini ia adalah hiburan utama dan sukan nombor satu rakyat yang bermula di peringkat istana hinggalah orang-orang kampung.
“Jika Kedah tiada dalam saingan tertinggi kancah bola sepak Malaysia, bukan setakat rugi dan malang, ia akan jadi satu suasana seperti orang berkabung. Ini mendorong lebih ramai bakat muda yang sedang melalui industri ini bakal hilang arah,” katanya.

Beliau turut berpandangan bola sepak di Kedah ini sebagai satu budaya yang unik kerana jika bola sepak mencapai kemajuan, stadium akan mulai penuh dan ini turut merancakkan lagi persekitaran ekonomi untuk orang tempatan menjalankan perniagaan.
“Ini selari kerana jika ada perkembangan yang baik dalam bola sepak, maka persekitaran perniagaan juga akan lebih baik dan anak muda akan lebih cenderung untuk meningkatkan diri dalam arena ini disebabkan ada dorongan kejayaan yang telah dihasilkan,” katanya.
Terdahulu, nasib Kedah dalam saingan Liga Super musim depan di hujung tanduk selepas terpalit dengan isu tunggakan gaji yang belum selesai.



