
KOTA KINABALU – Lima universiti dari Taiwan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat persatuan pelancongan Sabah bagi menjalin kerjasama dalam usaha memperkasa pelancongan berasaskan agro dan komuniti.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerjasama itu akan diselaraskan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), yang turut berperanan mempromosikan pembangunan pelancongan mampan dan inklusif.
Beliau yang juga Pengerusi STB berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menetapkan sektor pertanian dan pelancongan sebagai tonggak utama pertumbuhan negeri.
“STB mengenal pasti 51 produk pelancongan agro di seluruh negeri dan sedang melaksanakan projek rintis platform data digital di Kiulu bagi menambah baik strategi pelancongan luar bandar.
“Saya percaya kerjasama dengan universiti-universiti dari Taiwan ini akan membantu membina keupayaan tempatan, menggalakkan pertukaran ilmu, serta membangunkan projek pelancongan mampan berasaskan nilai tempatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, pada Rabu.
Beliau turut menekankan kepentingan pelancongan agro dalam mencipta pengalaman bermakna buat pelancong dan pada masa sama memberi manfaat langsung kepada komuniti luar bandar.
Majlis menandatangani MoU tersebut turut disaksikan oleh Joniston, membabitkan empat persatuan dari Sabah iaitu Persatuan Pelancongan Kiulu; Persatuan Pelancongan Tambunan; Persatuan Pengusaha Kopi Tenom Sabah dan Persatuan Komuniti Wanita Kampung Tambatuon, Kota Belud.
Manakala pihak Taiwan pula diwakili oleh Dayeh University; National Chi Nan University; Nan Kai University of Technology; Lee-Ming Institute of Technology dan Taiwan Agro and Rural Tourism Association.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Mary Malangking; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Patricia Vain; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit serta wakil Malaysia Talent Education and Industry-Academia Collaboration Association, Pang Thou Chong.



