
PENAMPANG – Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah ibadat di sekitar Putatan berjaya ditahan oleh pihak polis.
Menurut Polis Penampang menerusi kenyataan media, tangkapan tersebut adalah hasil kecekapan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek terlibat dalam empat kes pecah rumah ibadat yang melibatkan masjid dengan anggaran kerugian berjumlah RM2,250.
“Turut dirampas semasa tangkapan adalah sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kota Kinabalu, dipercayai digunakan oleh suspek dalam aktiviti jenayah.
“Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah serta sejumlah wang tunai,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil saringan ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.
“Selain itu, Seksyen 380 Kanun Keseksaan juga termasuk kerana mencuri dalam bangunan, dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
“Hukuman lebih berat termasuk sebatan boleh dikenakan bagi pesalah berulang.
“Seterusnya ialah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana penyalahgunaan dadah, dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan itu.
Polis Penampang turut menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan mereka dalam membanteras jenayah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terjamin.
“Orang ramai diseru agar terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah demi kesejahteraan bersama,” ujar kenyataan tersebut.







