
TAPAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning baharu, Dr Mohamad Yusri Bakir berterima kasih dan bertekad menunaikan segala janji dalam manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Terima kasih diucapkan kepada semua pengundi di DUN Ayer Kuning yang memilih saya. Begitu juga kepada semua jentera dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak.
“Insya-Allah, selepas ini selain saya akan meneruskan apa yang ditinggalkan Allahyarham Ishsam, kita juga akan usahakan sehingga mencapai tahap baik tekad yang ditawarkan dalam manifesto.
“Setiap perancangan akan diusahakan sebaik mungkin agar dapat direalisasikan demi manfaat seluruh rakyat Ayer Kuning,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Ayer Kuning oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah, di sini, malam Sabtu.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, beliau yang mesra disapa Dr Ustaz Yusri Bakir mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kemenangan kerusi DUN Ayer Kuning yang sememangnya kubu kuat mereka.
Bekas guru dan pensyarah kanan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga pertama kali bertanding dalam pilihan raya memperolehi sebanyak 11,065 undi dengan majoriti 5,006 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek pula meraih 6,059 undi manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106 undi).
Keputusan rasmi itu diumumkan Ahmad Redhauddin, selepas penjumlahan undi daripada semua saluran selesai pada jam 9.30 malam Sabtu.
Sebanyak 289 kertas undi di tolak dan peratus keluar mengundi yang direkodkan adalah 58.07 peratus.
Sementara itu, Pengerusi BN merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau akan membimbing Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu supaya mampu menjadi wakil rakyat yang baik untuk pengundi Ayer Kuning.

Menteri Besar Perak itu juga turut berterima kasih kepada semua pihak, terutama jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bersama-sama membantu Mohamad Yusri meraih sokongan daripada seramai mungkin pengundi.
Bahkan ujarnya, pertambahan sokongan daripada belia buat BN juga menggambarkan perkembangan positif pada PRK ini.
Jelasnya, senario itu dipamerkan menerusi peningkatan jumlah undi diterima daripada saluran pengundi muda.
“BN amat menghargai serta mengungkapkan terima kasih kepada golongan itu yang kembali memberi sokongan kepada gabungan Kerajaan MADANI,” katanya.
Bahkan ADUN Kota Tampan itu juga menyifatkan kemenangan BN di DUN Ayer Kuning adalah antara signal jelas mengenai tahap penerimaan pengundi terhadap kedamaian dan bukannya politik yang mencetuskan provokasi atau fitnah.
Kemenangan calon BN itu juga menyaksikan parti itu dan PH kekal dengan 33 kerusi DUN di Perak manakala PN dengan 26 kerusi.






