
VATICAN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bersama pemimpin-pemimpin dunia menghadiri upacara misa pengebumian Pope Francis di St. Peter’s Square, di sini, pada Sabtu.
Selain Ewon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut mewakili kerajaan Malaysia dalam upacara tersebut.
Ewon berkata, antara pemimpin negara lain yang hadir ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky; bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden; dan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Beliau berkata, upacara misa yang dihadiri ratusan ribu orang dari pelbagai agama itu dijalankan dalam bahasa Itali dan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.
“Pada Jumaat, saya bersama Duta Besar Malaysia ke Holy See, Hendy anak Assan, telah memberi penghormatan terakhir kepada Pope Francis di St. Peter’s Basilica.
“Semalam (Sabtu), saya bersama-sama dengan Azalina dan pemimpin-pemimpin negara kuasa besar dunia telah mengikuti upacara misa dan pengebumian Pope Francis di Dataran St. Peter.
“Pope telah meninggalkan kita dengan banyak legasi, khususnya melalui wacana, pandangan dan pesanan beliau kepada seluruh dunia, terutamanya umat Katolik,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Tambahnya, beliau menyifatkan pengalaman menghadiri upacara itu sebagai amat menakjubkan, apatah lagi dapat memberikan penghormatan terakhir kepada Pope Francis.



