
DALAM sebuah cerita rakyat yang belum sempat dikarang, ada sebuah parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam, tetapi bila tiba musim pilihan raya, modal yang dibawa hanyalah: kaum, agama, dan babi.
Parti ini, yang kita semua kenali — Pas — yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berusaha keras di PRK Ayer Kuning untuk menghidupkan semangat perkauman dan ketakutan, seolah-olah babi yang berkeliaran itu lebih berbahaya daripada ketandusan idea mereka sendiri.
Kempen mereka penuh warna-warni: ucapan berapi-api tentang ‘ancaman bangsa’, laungan tentang ‘musuh agama’, dan tentunya, cerita babi yang lebih penting daripada manifesto.
Segalanya dicanang, kecuali satu perkara penting – apa pelan sebenar untuk memajukan Ayer Kuning? Apa rancangan untuk menambah peluang pekerjaan, memperbaiki sekolah, atau memajukan pertanian di kawasan itu? Sunyi. Kosong. Hampa. Yang ada hanya laungan dan fitnah.
Tapi rakyat Ayer Kuning, nampaknya, sudah jauh lebih bijak daripada apa yang Pas sangkakan. Mereka tahu bahawa hidup ini tidak boleh dimajukan dengan retorik kosong dan ketakutan palsu.
Mereka memilih calon Barisan Nasional, bukan kerana lupa agama atau bangsa mereka, tetapi kerana mereka memilih harapan berbanding hasutan, memilih masa depan berbanding fitnah kebencian.
Kekalahan Pas di Ayer Kuning, meskipun dibantu sekutu mereka dari PN, sepatutnya menjadi cermin besar buat mereka. Namun, seperti biasa, Pas lebih suka bercermin sambil menuding jari kepada orang lain daripada mengaku kelemahan sendiri.
Di pentas politik hari ini, Pas bukan lagi parti yang membawa agenda nasional — mereka hanya menjadi penceramah tetap yang memutarkan lagu lama: kaum, agama, dan sekarang, babi.
Pengundi Melayu di seluruh Malaysia harus mengambil iktibar daripada Ayer Kuning: masa depan negara ini tidak boleh disandarkan kepada parti yang fikir ‘isu babi’ lebih penting daripada isu ekonomi, pendidikan, dan pembangunan.
Malaysia memerlukan pemimpin yang ada idea, bukan pemimpin yang kehabisan modal sehingga terpaksa mencari babi untuk dijadikan modal politik.
Kalau di Ayer Kuning pun babi gagal selamatkan Pas, apatah lagi di Malaysia yang jauh lebih matang?







