
KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan semula bagi dua cabang di Sabah, iaitu Silam dan Semporna, namun tarikh pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pemilihan semula bagi Cabang Silam hanya membabitkan jawatan ketua cabang, manakala di Semporna, ia melibatkan pemilihan jawatankuasa cabang berikutan masalah teknikal.
“Ketika ini, Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPP) telah membuka ruang kepada mana-mana calon yang tidak berpuas hati untuk mengemukakan aduan.
“Sekarang ini setiap aduan sedang diteliti dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut Mustapha, hanya dua cabang terlibat dalam pemilihan semula iaitu Silam dan Semporna.
“Silam hanya membabitkan pemilihan ketua cabang sahaja kerana berlaku masalah teknikal, manakala Semporna melibatkan jawatankuasa cabang, juga disebabkan masalah teknikal. Pemilihan semula ini akan diadakan tidak lama lagi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Raya Sekampung Parlimen Sepanggar dan DUN Inanam di Perkarangan Masjid Tun Ahmad Shah, Kampung Inanam Laut, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mustapha turut mengesahkan bahawa pihaknya menerima banyak aduan berkaitan pemilihan dan semuanya kini dalam proses penelitian oleh JPP.
“Saya dimaklumkan bahawa banyak aduan telah dibuat oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati.
“Semua aduan ini akan diteliti dan kita akan menunggu keputusan serta pertimbangan daripada JPP jika ada keperluan untuk mengadakan semula pemilihan di tempat lain,” katanya.







