
TUARAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu jentera penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memperkukuhkan gerak kerja dalam menghadapi tiga cabaran utama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, cabaran tersebut ialah memerangi pembohongan dan fitnah pembangkang, menguasai dunia maya dan media sosial, serta memastikan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus kekal utuh.
“Jentera penerangan khususnya mempunyai tanggungjawab besar. Bukan sahaja perlu melawan pembohongan pembangkang, tetapi juga menguasai media sosial bagi menyebarluaskan kejayaan dan inisiatif kerajaan GRS-PH Plus.
“Tahun ini adalah tahun pilihan raya, jadi jentera penerangan harus bekerja keras memberi penjelasan dan penerangan kepada rakyat. Insya-Allah, GRS akan diberi mandat sekali lagi,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penerangan dan Pelancaran Jentera Penerangan Gagasan Rakyat ‘Gasak 17’ di Dewan Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajausama, di sini, pada Sabtu.

Menurut Hajiji, penjelasan berterusan kepada rakyat amat penting memandangkan banyak inisiatif GRS yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu, termasuk dalam bidang pendidikan, kesejahteraan rakyat serta menarik pelaburan asing yang merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
“Tanggungjawab kita mencabar kerana pembangkang akan terus menabur fitnah. Kita mesti lawan dengan fakta pencapaian yang telah kita capai sepanjang lebih empat tahun ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan seluruh jentera parti di semua peringkat supaya memperkemaskan persiapan menghadapi PRN serta mengelakkan sabotaj dalaman.
“Saya mahu siapa pun calon yang dipilih, kita wajib sokong. Yang penting, kita kekalkan kestabilan politik untuk rakyat,” tegasnya.






