
KOTA KINABALU – Pelancaran Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy RAMP 2040) dijangka membuka potensi Sabah dalam menyumbang sehingga 75 peratus daripada bekalan hijau negara menjelang 2040.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sektor tenaga akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masa depan Sabah.
“Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy RAMP 2040) yang bertujuan untuk merangka hala tuju dan menggariskan keutamaan utama untuk sektor tenaga negeri.
“Dengan ini, Sabah akan dapat membangunkan sepenuhnya sektor tenaga hijau, dengan potensi untuk memberikan sehingga 75 peratus bekalan tenaga hijau negara.
“Kerajaan Negeri mengharapkan kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan dalam memacu Sabah ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun pada Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2025: Koridor untuk Mengubah Visi kepada Realiti (SAREC 2025) di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sabah memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan berpotensi besar untuk menyokong transformasi negeri dan negara ke arah ekonomi berimpak tinggi.
“Sektor tenaga telah menjadi enjin pertumbuhan yang kritikal bagi ekonomi Sabah selama beberapa dekad lepas, memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negeri.
“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat sektor tenaga Sabah terus berkembang sambil memberikan kesan sosial yang positif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kini giat melaksanakan program untuk menggalakkan pembangunan tenaga bersih dan boleh diperbaharui, sebagai sebahagian daripada agenda merangsang pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh industri hijau Sabah.
“Kerajaan Negeri akan terus membangunkan infrastruktur berkaitan dengan sektor tenaga yang diperlukan.
“Kami sentiasa teguh dalam usaha untuk mengambil alih dan mengurus sumber tenaga negeri bagi memperkasakan Sabah untuk membangunkan dan terus mengembangkan sektor tenaga dengan lebih berkesan dan efisien,” katanya.




