
KOTA KINABALU – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) 2025 hari ini memutuskan berkaitan Kongres Nasional 2025 yang memberi kemudahan kepada sebilangan perwakilan dari Sabah dan Sarawak untuk mengundi di pusat undian satelit di bandar raya negeri tersebut masing-masing.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh berkata mesyuarat berkenaan berjalan dengan baik dalam kalangan ahli MPP dan isu berhubung keanggotaan, displin parti, pemilihan 2025 serta Kongres Nasional 2025 dapat dibincangkan.
“MPP mengesahkan berkaitan kongres itu yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Mei tahun ini di Johor Bahru pada 23 Mei adalah tarikh bagi Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Nasional.
“MPP juga memutuskan bahawa sebilangan perwakilan yang wajib hadir fizikal dari kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang-cabang di Sabah dan Sarawak boleh hadir sebagai perwakilan serta mengundi di pusat undian satelit di Kuching dan Kota Kinabalu.
“Ini adalah memberi kemudahan kepada perwakilan di dua negeri itu yang perlu secara fizikal untuk mengundi serta mengikut perjalanan Kongres Nasional 2025 melalui jarak jauh di pusat satelit,” kata dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, senarai perwakilan dari kalangan AJK Cabang dari Sabah dan Sarawak yang akan mengundi secara fizikal di Kongres berkenaan akan diumumkan kemudian.
Sehubungan itu, beliau turut menjelaskan MPP juga telah dimaklumkan berkenaan status keanggotaan calon-calon yang bertanding di dalam pemilihan PKR 2025.
“MPP membuat keputusan dasar iaitu seorang anggota PKR setelah menjadi calon pemilihan dan kemudiannya didapati menjadi ahli mana-mana parti lain, akan digugurkan keanggotaan dan hilang kelayakan menjadi calon serta pencalonan mereka juga terbatal.
“Pengumuman berkaitan nama-nama spesifik akan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti. Mesyuarat MPP juga berakhir dengan sokongan yang padu ahlinya ke atas keputusan bersama yang dicapai melalui kepimpinan Presiden.
“MPP turut menyatakan sokongan serta penghargaan ke atas usaha keras JPP 2025 yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
“Segala persiapan kongres berkenaan sedang berjalan lancar dan semua para perwakilan yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Menurut Fuziah, Kongres Nasional 2025 juga menganjurkan sekitar 10,000 perwakilan yang akan hadir dan mengundi secara fizikal, manakala lebih 20,000 perwakilan diunjurkan akan mengundi di atas talian.
“Kongres Nasional 2025 buat pertama kalinya akan menggunapakai konsep ‘proportionate representation’ bagi perwakilan seperti yang diluluskan dalam Kongres Khas pasa 15 Disember tempoh hari,” ujarnya.







