
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai calon Barisan Nasional (BN) bakal bertanding dalam tiga penjuru menentang dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Di atas kertas, calon BN dikatakan mempunyai kelebihan dalam memenangi PRK kali ini.
Namun, semua itu akan dapat direalisasikan dengan kerjasama jitu daripada semua pihak berkaitan dan strategi terbaik dalam terus menambah hati rakyat dalam mengekalkan kemenangan kerusi N. 48 sebelum ini.
Dalam kempen kali ini, BN memperkenalkan manifesto bertemakan “Ayer Kuning Sejahtera”, yang disusun berdasarkan aspirasi dan harapan masyarakat setempat.
Ustaz Dr Yusri Bakir menegaskan komitmennya untuk mendengar suara rakyat dan bekerja keras demi memastikan setiap perkara yang dinyatakan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Golongan anak muda dan pengundi baharu di Ayer Kuning turut memberi perhatian terhadap calon BN ini.
Seorang pengundi baharu, Muhammad Haikal, 19, berharap calon BN kali ini lebih terbuka dengan idea-idea anak muda dan memahami kehendak generasi mereka.

“Walaupun saya pengundi baharu dan masih banyak belajar, namun saya mengikuti juga perkembangan politik tempatan mahupun negara.
“Saya akui apa yang Kerajaan MADANI lakukan sekarang banyak membantu anak-anak muda terutama dalam bab pembelajaran dan kemahiran,” katanya.
Tambahnya, berkaitan calon BN di PRK DUN Ayer Kuning, dia mengharapkan Ustaz Dr. Yusri Bakri nanti akan menjaga dan memberi tumpuan kepada golongan muda atau pengundi baharu di DUN Ayer Kuning.
Manakala bagi Muhammad Irfan Muhamad Hasrul, 18, dia tidak mengetahui siapa calon-calon yang bertanding dengan lebih dekat, tetapi hanya mengenali Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.
“Sebelum ini, banyak aktiviti orang muda terutama dalam bola sepak, kami lebih mengenali Ahli Parlimen.
“Bagi calon BN, kami mengharapkan beliau lebih menyerlah dalam pergaulan dengan orang muda terutama kami pengundi baharu,” katanya.
Nur Alia Zahira, 21, seorang pelajar universiti dan pengundi kali pertama, menekankan pentingnya memilih calon yang dekat dengan komuniti dan sentiasa hadir di tengah-tengah masyarakat.

Dr. Yusri yang dilahirkan di Ayer Kuning, memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam.
Beliau juga aktif dalam pelbagai jawatan dalam UMNO Bahagian Tapah sejak 2002.
Beliau adalah Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Dengan sokongan padu daripada jentera BN dan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat, Ustaz Dr Yusri Bakir berharap dapat meneruskan legasi Allahyarham Ishsam Shahruddin dan memastikan kebajikan rakyat DUN Ayer Kuning terus terjaga.






