KOTA KINABALU – Ketua Pemuda Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah (DAPSY), Chan Loong Wei menyeru semua pihak di negeri ini agar mengetepikan perbezaan politik dan bersatu demi membina masa depan Sabah yang lebih adil, inklusif dan mampan.
Menurut Chan, sudah tiba masanya landskap politik Sabah memberi tumpuan kepada dasar dan polisi yang benar-benar memanfaatkan rakyat, bukannya sekadar membentuk gabungan politik demi menghadapi pilihan raya.
“Dalam menentukan hala tuju masa depan negeri ini, persoalan yang sering timbul ialah, apakah pendirian DAP Sabah?
“Bagi kami, sudah tiba masanya untuk meletakkan keutamaan kepada rangka dasar dan polisi yang jelas, bukannya bergantung semata-mata pada gabungan politik ketika pilihan raya. Rakyat mahukan penyelesaian, bukan sekadar permainan politik,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Jelasnya, politik seharusnya berteraskan perjuangan untuk kepentingan rakyat dan bukannya soal siapa bergabung dengan siapa.
“Rakyat kini semakin penat dengan percaturan kuasa yang tidak berkesudahan. Apa yang mereka mahu ialah hasil yang nyata — bekalan air dan elektrik yang stabil, peluang pekerjaan berkualiti, kemudahan awam yang baik, dan jaminan masa depan yang cerah,” tegasnya.
Tambah beliau, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang, sebaliknya menjadi platform untuk bekerjasama dan mencari penyelesaian demi manfaat bersama.
“Kita mesti sedar bahawa perjuangan ini bukan tentang individu, parti atau jawatan, tetapi tentang Sabah, tentang rakyat, dan tentang masa depan yang kita bina bersama,” katanya.
Chan turut menekankan bahawa kestabilan politik amat penting bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Dasar bersama yang memberi penekanan kepada kebajikan rakyat, terutama golongan miskin tegar dan komuniti minoriti yang sering terpinggir, perlu diberi perhatian utama,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan DAP Sabah komited untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk budaya politik baharu yang lebih progresif, matang dan berjiwa rakyat.
MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan
KOTA KINABALU – Sebanyak lapan pelan tindakan sementara (interim) serta dua inisiatif baharu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP). Menteri…
Lebih lanjut




