SARIKEI – Dalam usaha menjaga dan memelihara warisan budaya belia di Sarawak kini semakin memperkenalkan sugu tinggi, perhiasan tradisional kaum Iban, sebagai peluang perniagaan yang menguntungkan.
Edika Jalin Anak Keded, seorang usahawan belia Iban merupakan contoh yang berjaya memanfaatkan keindahan dan nilai budaya sugu tinggi untuk dijadikan produk komersial.
Beliau juga turut berkongsi kepakaran dengan mengadakan kelas pembuatan sugu tinggi kepada orang awam.
Sugu tinggi adalah perhiasan perak yang digunakan oleh wanita Iban dalam pakaian Ngepan Indu, kini semakin mendapat perhatian sebagai produk yang boleh dipasarkan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Iban, tetapi juga kepada pelancong dan pasaran global.
“Saya telah bergiat dalam bidang ini tahun sejak dari tahun 2018 sehingga ke hari ini dan saya sangat bersyukur dengan perniagaan ini saya dapat menambahkan pendapatan yang luar biasa di samping dapat memperkenalkan pakaian tradisional kaum kami kepada orang ramai,” katanya.

Menurut Edika, sugu tinggi bukan sahaja boleh dijadikan aksesori bagi wanita yang memakai pakaian tradisional dalam majlis keramaian atau perkahwinan, tetapi juga boleh dijadikan koleksi seni yang menarik minat mereka yang menghargai warisan budaya.
“Saya berharap agar lebih ramai lagi golongan belia mengambil peluang seperti saya untuk menjana pendapatan sendiri dan mampu berdaya saing dengan golongan belia yang lain,” katanya.
Perancangan jangka masa yang akan datang, Edika menyatakan impiannya untuk terus memperkenalkan pembuatan sugu tinggi ini dan juga pakaian tradisional Iban ini dengan lebih luas supaya warisan berharga ini tidak luput ditelan zaman.
Selain mengadakan kelas ini, Edika turut menjalankan perniagaan sewaan baju pengantin dan pembuatan pelamin sejak dua belas tahun yang lalu dan juga pembuatan buri.



