Sudah sampai masa pendidikan seks dan moral dilaksanakan segera

ALOR SETAR – Isu dan masalah moral dalam kalangan pelajar, remaja dan kanak-kanak di negara ini dikatakan semakin kronik.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, kes buli di sekolah masih lagi berlaku dan semakin kritikal apatah lagi dengan kes hamil seorang remaja perempuan berumur 15 tahun hasil pelakuan seks dengan kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun baru-baru ini.

Katanya, masalah itu bukan setakat itu sahaja, malahan lebih banyak kes jenayah melibatkan golongan ini termasuk penyalahgunaan dadah di mana kes jenayah ini sama ada jenayah umum atau seks berlaku di semua negeri termasuk Kelantan.

“Menelusuri kes hamil remaja Kelantan tersebut, Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan satu anggapan bahawa tiada kesalahan jenayah rogol bagi kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah.

“Memandangkan remaja wanita tersebut 15 tahun, maka Seksyen 376 Kanun Keseksaan meletakkan ia satu kesalahan rogol (statutory rape). Namun oleh kerana pelaku berumur 11 tahun, maka pendakwaan tidak boleh diasaskan, jika diteruskan juga maka kanak-kanak tersebut boleh dibebaskan atas pembelaan statut ini,” katanya.

Menurut Faiz, undang-undang jenayah seks di Malaysia kerap kali dipinda dengan peruntukan hukuman lebih berat dan kelonggaran beban pembuktian. Namun demikian kes jenayah dan masalah moral dalam kalangan pelajar sekolah masih berleluasa.

Justeru, undang-undang bukan solusi lengkap mengekang masalah moral jenayah dalam kalangan pelajar sekolah termasuk jenayah seks.

“Pelajar adalah permata negara dan pembinaan modal insan untuk masa hadapan negara ini bukan sahaja terletak kepada bahu golongan intelektual dan jasmani sahaja. Tetapi juga perlu diseimbangkan dengan moral, akhlak dan rohani selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Kita sebagai bangsa Melayu perlu berfikiran terbuka untuk menerima cadangan keperluan pendidikan seks di peringkat sekolah rendah lagi.

“Pendidikan moral perlu ditambah baik dengan memasukkan silibus seks bagi memberikan ilmu dan pendedahan awal tentang hukum agama, undang-undang dan kesan kehidupan akibat perbuatan jenayah termasuk seks ” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya lagi, sudah pasti akan ada kumpulan yang akan mengkritik dan menentang cadangan ini atas nama agama, tetapi hamil luar nikah juga bertentangan dengan agama dan menambah masalah sosial kepada Melayu sendiri.

Justeru, hamil luar nikah yang kini berlaku semakin berleluasa perlu dikekang dengan segera.

Menurut peguam bela muda itu juga, kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja terutama Melayu adalah satu masalah serius yang perlu ditangani dengan segera.

“Apabila kes jenayah ini berlaku di Kelantan yang kita tahu kehidupan agama yang diterapkan, maka suatu kepelikan dan kejutan terus berlegar dalam fikiran kita iaitu kenapa ia berlaku di Kelantan?

“Kerajaan Kelantan tidak boleh mendabik dada mengatakan pelaksanaan ‘Islam’ sudah cukup sedangkan masalah moral dan jenayah semakin berleluasa. Ini bermakna, silibus pendidikan di institusi formal atau tidak formal di Kelantan tidak lengkap,” jelasnya.

Lantaran itu katanya, sudah tiba masanya kita berfikiran terbuka dan menolak pemikiran sempit kononnyapendidikan seks satu tindakan golongan liberal.

“Hari ini kita harus berfikiran sederhana dalam semua hal dan menjadikan ilmu fiqh mizan (idea Profesor Ali Muhyiddin al- Qarah Daghi) sebagai sandaran penghakiman kita. Antara dosa perlakuan seks dan hamil luar nikah , yang manakah mudarat lebih besar?

“Sedangkan maqasid syariah itu adalah untuk memelihara keturunan kita. Kita tidak boleh lagi membiarkan pemikiran kita dikuasai emosi dan ketakutan untuk islah sedangkan pemahaman kita kepada agama tidak sempurna,” katanya.

Menurutnya, golongan agama (ulama) sememangnya ahli kepada ilmu ini, tetapi penentuan kehidupan rakyat terletak kepada pemerintah (umara’).

“Oleh itu pendidikan seks menjadi keperluan untuk dilaksanakan kerajaan bagi membentuk masyarakat MADANI yang bermoral dan sejahtera.

“Adalah tidak sejahtera kehidupan rakyat di negara ini jika golongan mudanya dibelenggu masalah moral yang kronik,” katanya.

Related Posts

Kerajaan MADANI utamakan kesejahteraan rakyat, bukan kemajuan segelintir – Amirudin

SHAH ALAM – Usaha menangani kemiskinan memerlukan intervensi menyeluruh meliputi bantuan keperluan asas, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, pendidikan, latihan kemahiran dan perlindungan sosial. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu pelarian Myanmar antara tumpuan pertemuan Anwar, Min Aung Hlaing

KUALA LUMPUR – Isu pelarian Myanmar di Malaysia, termasuk prospek penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah tanpa mengira etnik, menjadi antara perkara yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Insentif berterusan bantu tingkat hasil dan pendapatan pekebun kecil sawit

Insentif berterusan bantu tingkat hasil dan pendapatan pekebun kecil sawit

Kuota 30 peratus kepakaran langkah tepat, insentif doktor di Sabah dan Sarawak perlu diperkukuh

Kuota 30 peratus kepakaran langkah tepat, insentif doktor di Sabah dan Sarawak perlu diperkukuh

Kerajaan MADANI utamakan kesejahteraan rakyat, bukan kemajuan segelintir – Amirudin

Kerajaan MADANI utamakan kesejahteraan rakyat, bukan kemajuan segelintir – Amirudin

Isu pelarian Myanmar antara tumpuan pertemuan Anwar, Min Aung Hlaing

Isu pelarian Myanmar antara tumpuan pertemuan Anwar, Min Aung Hlaing

Myanmar sedia tanggung kos penghantaran pulang rakyatnya – PM

Myanmar sedia tanggung kos penghantaran pulang rakyatnya – PM

SIKR 3.0 lindungi 250,000 ketua isi rumah miskin, miskin tegar

SIKR 3.0 lindungi 250,000 ketua isi rumah miskin, miskin tegar