Tarif AS: Malaysia perlu nilai semula pasaran baharu, usahawan tempatan segera teroka pasaran alternatif

PUTRAJAYA – Keperluan buat Kerajaan MADANI menilai semula tumpuan pasaran global dengan memberi lebih perhatian kepada negara-negara ASEAN dan Asia Barat sebagai rakan dagang utama, susulan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sehingga 24 peratus ke atas Malaysia.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan memperkasa kerjasama organisasi serantau itu ke arah yang lebih optimis dan holistik, namun menawarkan peluang pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

“DPIA turut menyeru kerajaan menilai semula tumpuan pasaran global dengan memberi lebih perhatian kepada negara-negara ASEAN dan Asia Barat sebagai rakan dagang utama. Kita harus melangkah lebih jauh daripada pergantungan kepada AS.

“Negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam serta pasaran Timur Tengah yang kini rancak membangunkan sektor ekonomi bukan minyak adalah platform terbaik untuk Malaysia maju ke hadapan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Dalam pada itu, Sohaimi memaklumkan,
pihaknya menjangkan berlaku beberapa perubahan dasar perniagaan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat susulan perubahan baharu tarif tersebut.

Antaranya, kata beliau, termasuk semakan semula dasar eksport negara serta kemungkinan peralihan fokus perdagangan kepada rakan dagang serantau yang lebih konsisten.

“Sebagai langkah awal, DPIA menggesa Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) segera memanggil semua usahawan yang terlibat dalam aktiviti import dan eksport ke AS untuk satu sesi perbincangan khas.

“Kita perlukan pelan tindakan menyeluruh. Libat urus secara terus dengan pemain industri penting supaya strategi mitigasi dapat dirangka bersama,” katanya.

Pada masa sama, Sohaimi turut menyeru agar usahawan tempatan segera meneroka platform dan pasaran alternatif untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sehingga 24 peratus ke atas negara ini.

Katanya, antara pasaran yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk diteroka usahawan tempatan itu termasuk negara-negara ASEAN, Afrika, Asia Tengah dan Asia Barat.

“Kita perlu lihat ke arah pasaran yang lebih terbuka dan stabil yang mana negara-negara ASEAN, Timur Tengah (Asia Barat), Asia Tengah dan Afrika menawarkan ruang besar kepada produk Malaysia, khususnya dalam sektor halal, makanan, teknologi dan perkhidmatan.

“Kerajaan perlu lihat lebih luas pasaran baharu untuk bantu usahawan Malaysia. Pasaran AS bukan lagi pasaran yang boleh diharapkan,” katanya.

Sementara itu, Sohaimi turut mengecam dasar tarif timbal balik AS ke atas Malaysia itu yang disifatkan sebagai langkah berat sebelah dan bakal memberi impak besar kepada hubungan dagangan antara kedua-dua negara.

Menyifatkan tindakan Washington itu sebagai ‘tidak mesra perdagangan’, tegasnya, langkah itu juga akan menjejaskan ratusan syarikat Malaysia yang bergantung kepada pasaran AS, khususnya dalam sektor eksport berasaskan perkilangan, elektronik, getah, dan produk makanan.

“Ramai usahawan tempatan terkesan secara langsung apabila kos meningkat, margin keuntungan terhakis dan persaingan harga semakin sengit. Kita tidak boleh bergantung pada satu pasaran yang semakin tidak stabil dari segi dasar.

“Tindakan tegas dan bijak perlu diambil segera bagi memastikan sektor perdagangan Malaysia tidak terus terjejas dan kekal relevan dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar,” katanya.

Related Posts

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

KOTA KINABALU – Sabah menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 11 September 2026.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu petang ini untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah. Ketibaan Perdana Menteri di Terminal 2,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula