GRS-PH sebuah kerajaan peduli rakyat – Hajiji

SIPITANG – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Kerajaan GRS-PH sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat.

Beliau berkata, sejajar dasar peduli rakyat yang diterapkan GRS-PH, kerajaan menggubal polisi menyediakan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, bermula dari anak yang baru lahir hinggalah golongan dewasa.

Katanya, bagi anak yang baru lahir, kerajaan menyediakan tabung pendidikan sebagai bekalan apabila mereka memasuki alam persekolahan.

“Kita wujudkan tabungan pendidikan kepada anak yang baru lahir. Mungkin ramai yang tidak tahu perkata ini, tapi kita memang ada bantuan untuk mereka.

Itulah kita panggil kerajaan ini sebagai kerajaan peduli rakyat, kerana dari yang baru lahir hinggalah rakyat yang tua dan tidak mampu kita bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri di Masjid Imam Haji Awang Hashim, Sipitang pada Khamis.

Jelasnya, banyak sudah dilakukan kerajaan yang menjurus kepada peduli rakyat, termasuk bantuan kewangan RM300 sebulan selama setahun kepada rakyat miskin tegar pada tahun ini.

Terbaru, katanya Kabinet Negeri pada Rabu meluluskan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam negeri sebanyak RM500 untuk sambutan Aidilfitri bulan ini dan RM500 lagi sempena Kaamatan pada Mei depan.

Sementara itu, Hajiji berkata kedudukan Sipitang yang bersempadan dengan Sarawak, selain dekat dengan Brunei dan Kalimantan, Indonesia memberi kelebihan kepada daerah ini.

Kedudukan strategik itu, katanya antara yang mendorong pelabur datang ke daerah ini untuk melabur dalam industri minyak dan gas, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Hasilnya, katanya taman industri itu sudah penuh dan sekarang pihak berkuasa di SOGIP memohon kawasan baharu untuk mengembangkan industri minyak dan gas di daerah ini.

“Di Sipitang, SOGIP sudah penuh dan ia memohon untuk tambah lagi kawasan tanah. Kalau tiada tanah di sini, kita buka satu taman baharu dekat Beaufort, ini sudah dibincang dalam Kabinet kerana tiada tempat untuk pelabur sudah.

“SOGIP penuh ketika kerajaan GRS-PH, maknanya Sipitang mempunyai masa depan cerah sebab kawasan ini nanti akan terbangun banyak aktiviti ekonomi.

Dari situ aliran kewangan dari aktiviti ekonomi mengalir kepada rakyat, peniaga restoran, gerai dan lain lain lagi, ramai yang akan mendapat manfaatnya nanti,” katanya

Beliau berkata, ia sejajar dengan pendekatan kerajaan pimpinannya itu yang sentiasa mengambil peduli soal masalah rakyat dan membantu mereka yang susah atau miskin.

Katanya, walaupun kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha memajukan negeri dan membangunkan ekonomi, ia tidak sekali-kali meminggirkan usaha membantu rakyat yang memerlukan pembelaan.

“Sebagaimana biasanya dalam bulan Ramadan, apapun yang kita lakukan bagi mengimarahkan bulan ini, kita tidak boleh lupa mereka yang kurang mampu.

“Itulah sebenarnya antara fadilat berpuasa supaya kita menginsafi bahawa ada kalangan rakan kita yang memerlukan atau masih dalam keadaan susah. Kerana itulah dalam bulan Ramadan ini pelbagai acara kita adakan bagi menyantuni rakyat yang saya maksudkan ini.

“Dalam kerajaan, kita mempunyai satu dasar atau polisi di mana kerajaan ini, saya anggap sebagai kerajaan rakyat, kerajaan yang peduli masalah rakyat. Selain tumpuan kita untuk membina atau membangunkan ekonomi kita dengan pelbagai cara, rakyat miskin atau yang susah ini perlu dibantu,” katanya.

Sempena majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada golongan asnaf, anak yatim dan mangsa bencana banjir.

Related Posts

RM50,000 diperuntuk bagi kelas tuisyen dan gajet percuma pelajar Mukah

MUKAH – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib mengumumkan, peruntukan khas RM50,000 bagi menjayakan kelas tuisyen percuma dan sumbangan gajet pintar kepada pelajar di Parlimen Mukah pada Jumaat. Ahli…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Selangor catat rekod tanpa gangguan air berskala besar selepas SJAM beroperasi

SHAH ALAM – Selangor mencatat perkembangan positif dalam pengurusan bekalan air apabila negeri itu tidak mengalami gangguan air berskala besar sejak tahun lalu susulan pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM50,000 diperuntuk bagi kelas tuisyen dan gajet percuma pelajar Mukah

RM50,000 diperuntuk bagi kelas tuisyen dan gajet percuma pelajar Mukah

Selangor catat rekod tanpa gangguan air berskala besar selepas SJAM beroperasi

Selangor catat rekod tanpa gangguan air berskala besar selepas SJAM beroperasi

Polis tidak terima laporan rumah Orang Asli dibakar

Polis tidak terima laporan rumah Orang Asli dibakar

Enam maut kemalangan kereta, lori satu tan

Enam maut kemalangan kereta, lori satu tan

Rakyat berilah undi pada PH demi kestabilan, pembangunan Negeri Sembilan

Rakyat berilah undi pada PH demi kestabilan, pembangunan Negeri Sembilan

Jawapan buat Asraf Wajdi, peruntukan negeri jelas MB Negeri Sembilan mestilah Melayu Islam

Jawapan buat Asraf Wajdi, peruntukan negeri jelas MB Negeri Sembilan mestilah Melayu Islam