
KUCHING – Sarawak adalah sebuah wilayah yang patut dijadikan contoh hidup dalam kepelbagaian etnik, agama dan kepercayaan yang berbeza.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop, hidup bersama dalam kepelbagaian budaya, agama, etnik bukan menjadi satu halangan.
“Ketika pembentukan Malaysia, kita memilih dasar integrasi kaum sedangkan Indonesia memilih dasar asimilasi,” ujar beliau.
Tambah beliau, cabaran ketika itu berlakunya pertembungan ideologi atau Perang Dingin yang selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.
“Amerika Syarikat (AS) ketika itu tidak pernah terlibat tetapi mereka ada masalah di Vietnam terutama rantau Indo-China,” katanya.
Ismail menjelaskan China melihat ada pengaruh untuk menyebar di rantau Asia Tenggara.
“Jadi, anak-anak Sarawak perlu faham asas sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia,” katanya ketika ditemui oleh wartawan The Malaysia Press di Kuching pada Isnin.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membentuk konsep Malaysia MADANI yang sebenarnya bukan sekadar slogan.
“Malaysia MADANI sebenarnya meneruskan ideologi Rukun Negara yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.
Ismail berkata, Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berada dalam landasan yang betul untuk Malaysia MADANI.
“Sinergi antara kedua-dua pemimpin bukan sahaja mengangkat darjat negara berdaulat, tetapi meneruskan cita-cita yang dimahukan Bapa Pengasas Malaysia,” kata beliau.






