
TAWAU – Kurang seminggu ketibaan Syawal, Maritim Malaysia Zon Tawau tetap menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi demi menjunjung amanah negara.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, walaupun musim perayaan, mereka tetap bertugas menjaga perairan negara demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti.
“Musim perayaan ini sudah pasti menjadi perkara yang besar dalam kalangan anggota keselamatan sama ada Hari Raya, Ramadan atau sambutan Krismas, tapi kita (Maritim Malaysia) tetap profesional dan komited dengan kekuatan yang kita ada.
“Budaya kita di sini Maritim Malaysia juga jarang bercuti raya sebaliknya selesa menyambut perayaan di Tawau,” katanya kepada media dalam Ops Khas Pagar Laut 1/2025 bersama media di perairan Tawau.
Sementara itu, anggota Maritim Malaysia yang ditemui juga berlapang dada dan memberi komitmen tinggi sepanjang penugasan sekali gus berkongsi cabaran dihadapi semasa berada di laut.
Laskar Kanan Maritim Muhammad Fuzaimi Ibrahim bertugas di Unit Bot Kilat 53 yang berasal dari Bagan Serai, Perak itu berkata, dia kebiasaannya berhari raya di perantauan sepanjang tujuh tahun perkhidmatannya di Maritim Tawau.
“Alhamdulillah keluarga amat memahami saya boleh katakan saya agak jarang pulang raya kerana tunai tanggungjawab pada negara, menjaga perairan terus kekal selamat, aman dan insya-Allah tahun depan rancang untuk balik.
“Cabaran di Tawau ni satu pengoperasian jenayah rentas sempadan ni dibuat pada waktu malam kadang pagi subuh yang sunyi jadi agak mencabar,” katanya.

Berhari raya tanpa keluarga di sisi juga turut dirasai Pegawai Navigasi KM Medang, Leftenan Madya Maritim Muhammad Alias Aziz yang berasal dari Kedah dan anggota unit Bot Halilintar 7, Mohd Syarifuddin Mohamed.
“Alhamdulillah keluarga sangat memahami dan kekuatan berada di laut, keluarga di Semenanjung adalah saya fikir untuk tugas dan pengorbanan pada negara,” kata Syarifuddin.
“Bermula dari minat kita dari dulu rezeki di sini (Maritim Tawau) dan kita reda rezeki itu dan wajib jalankan tanggungjawab di samping keluarga juga reda serta fahami kerja kita,” ujar Alias.



