
SANDAKAN – Seekor buaya sepanjang dua meter berjaya ditangkap anggota bomba selepas ditemui dalam longkang di Jalan Seguntur, berdekatan sebuah pasar raya, di sini, pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.37 pagi berhubung kejadian tersebut.
Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 13 kilometer dari balai bomba.
“Sebaik tiba, didapati reptilia itu di dalam longkang dan operasi menangkap buaya dilakukan sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Operasi tamat pukul 10.07 pagi.





