
UMNO memiliki enam nama yang berpotensi dipilih bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, beliau telah pun melihat senarai pendek calon-calon tersebut dan akan berbincang dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak.
“Insya-Allah perbincangan telah saya adakan dengan Menteri Besar Perak selaku Pengerusi BN negeri Perak.
“Enam nama telah disenaraipendekkan dan kita akan mengumumkan nama calon dengan pelancaran jentera.
“Insya-Allah kira-kira seminggu sebelum hari ‘penerbangan’ calon (nama diumumkan),” katanya kepada media pada Majlis Berbuka Puasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh bagi penamaan calon PRK Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.





