Segerakan penggunaan digitalisasi sistem pendaftaran kelahiran, cegah campur tangan pihak berkepentingan

PUTRAJAYA – Perbuatan memanipulasi status kewarganegaraan melalui rasuah adalah jenayah serius yang tidak boleh dikompromi berikutan ia bukan sahaja  mencemarkan integriti institusi kerajaan, namun menimbulkan ancaman kepada keselamatan serta kedaulatan negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan penahanan 16 individu yang disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran dan penggunaan dokumen sokongan palsu.

Menurutnya, pihaknya menyambuk baik Op Outlander dan Op Birth yang dilaksana SPRM dalam membanteras penyalahgunaan kuasa berkaitan pendaftaran kelahiran.

“Sehubungan itu, kerajaan digesa mempercepatkan penggunaan teknologi dalam sistem pendaftaran kelahiran bagi mengurangkan campur tangan manusia serta meningkatkan ketelusan dan keselamatan maklumat. 

“Sistem sedia ada yang masih membolehkan manipulasi dokumen dan pendaftaran lewat kelahiran membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah.

“Proses pendaftaran kelahiran, terutamanya bagi kes lewat daftar, mesti diperketatkan dengan mekanisme pemantauan yang lebih telus bagi mengelakkan manipulasi dan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pantas SPRM yang menahan 16 individu kerana disyaki terbabit rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warga negara kepada warga negara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata,  kesemua suspek berusia di antara 20-an hingga 70-an ditahan dalam beberapa serbuan menerusi Op Outlander dan Op Birth ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.

Beliau berkata, serbuan itu dibuat hasil risikan selama kira-kira setahun dengan kerjasama dan perkongsian maklumat di antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengulas lanjut, Jais menegaskan, digitalisasi dapat membantu menutup ruang rasuah dengan memastikan proses pendaftaran lebih telus dan bebas daripada sebarang manipulasi dokumen sokongan palsu.

“Individu yang terlibat, termasuk penjawat awam juga perlu dikenakan tindakan tegas bagi memastikan kesalahan itu tidak berulang. Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan terhadap dalang utama bagi memberi isyarat jelas bahawa penyalahgunaan kuasa tidak akan diterima.  

“Pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam pendaftaran dokumen rasmi perlu diberikan latihan berkala mengenai integriti serta kesan buruk rasuah terhadap negara dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Jais turut menyeru agar lebih ramai pihak yang memiliki maklumat tampil ke hadapan, selain perlindungan kepada pemberi maklumat harus diperkukuh bagi memastikan pendedahan kes rasuah tidak menghadapi ancaman atau tekanan.  

“Malaysia hanya boleh mencapai status negara bebas rasuah jika semua pihak memainkan peranan secara proaktif dalam memastikan integriti dan ketelusan dalam sistem pentadbiran negara.  

“MCW akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan setiap kes rasuah dibongkar dan tidak berulang,” katanya.

Related Posts

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

SEPANG – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan sebanyak 54 kapal di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

KETIKA sebahagian pihak terus memainkan naratif kononnya negara sedang gagal dan ekonomi semakin merudum, angka rasmi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat