
PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan pelaburan strategik RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy Bhd (SEB) bukan satu bentuk ‘bailout’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menafikan dakwaan itu kerana ia adalah satu pelaburan strategik yang berbeza sifatnya daripada ‘bailout’ seperti yang berlaku era Tun Dr. Mahathir dahulu.
“Antara yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri berkait isu pelaburan strategik dalam Sapura Energy Bhd dan ada beberapa perkara lagi termasuk satu dakwaan oleh satu akhbar yang mendakwa ini adalah satu bentuk bailout.
“Hal ini sudah dinafikan, ia adalah satu pelaburan strategik yang berbeza sifatnya daripada bailout seperti berlaku era Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, itu adalah bailout sebenar, ini bukan, ini MADANI, bukan Mahathir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, apa yang berlaku itu bukan satu ‘bailout’ kerana ia datang dengan syarat yang khusus.
Beliau berkata, syarat yang dikenakan antaranya dana itu digunakan khusus untuk menguruskan tunggakan dan beberapa tunggakan yang perlu dibayar oleh SEB kepada lebih 2,000 vendor yang mana 40 peratus daripadanya adalah vendor Bumiputera.
“Jadi di pihak kerajaan secara umumnya kita akan teliti kes per kes. Kita akan amalkan prinsip MADANI Yang mana ‘there is no free lunch’. Ini bukan duit percuma.
“Kita juga sedia maklum bahawa proses ataupun pengurusan dalam SEB sudah mula berubah dan pasukan yang berbeza. Jadi dari segi itu kita hendakkan SEB berada di satu kedudukan lebih mampan.
“Tanpa ada SEB sebagai contoh, apakah kita bersedia untuk menggunakan perkhidmatan vendor asing? Jadi di sini perkiraan-perkiraan termasuk hal seperti itu ada dipertimbangkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Dalam satu kenyataan, SEB menjelaskan pihaknya memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.
MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.





