
IPOH – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dijangka bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu depan bagi mengenal pasti calon terbaik daripada enam nama yang berpotensi mewakili parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, pertemuan itu bagi mengemukakan hasil dapatan di lapangan yang telah dijalankan pihaknya berkenaan calon terbaik yang berpotensi untuk dibawa ke peringkat pusat.
“Saya sudah bertemu presiden parti pada Khamis lepas, dan Rabu nanti saya akan berjumpa sekali lagi untuk menyerahkan hasil laporan.
“Ada organisasi yang telah kita tubuhkan untuk melakukan kajian lapangan bagi kita kenal pasti antara enam calon tersenarai, mana yang paling terbaik untuk dipertimbangkan menjadi calon.
“Laporan itu akan diserahkan selepas selesai Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau ditemui selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak Tahun 2025, di Laman Seri Ridzuan, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, isteri beliau yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Aezer Zubin dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid akan meneliti senarai nama yang dikemukakan UMNO/BN Perak untuk memilih calon yang akan diangkat mewakili parti pada PRK DUN Ayer Kuning.
Sementara itu, Saarani turut menyarankan agar para pengundi di DUN Ayer Kuning membuat keputusan bijak dalam memilih calon daripada parti kerajaan nanti.
Biarpun keputusan PRK DUN Ayer Kuning nanti tidak memberi kesan kepada pentadbiran negeri, namun ujarnya hanya calon parti kerajaan dapat meneruskan legasi pembangunan kawasan yang ditinggalkan penyandang terdahulu.
“Penyandang kerusi DUN Ayer Kuning telah memberikan khidmat baik sejak diwakili Allahyarham Datuk Azman Mahalan pada tahun 1986 hingga 2004, Datuk Samsudin Abu Hassan (2004 hingga 2022) serta Allahyarham Ishsam Shahruddin (2022 hingga 2025).
“Pembangunan fizikal dan keperluan penduduk setempat di DUN Ayer Kuning telah disempurnakan, akan tetapi kita sentiasa akan tambah baik.
“Oleh itu, perlu untuk kita memenangkan calon daripada parti kerajaan bagi meneruskan kerja-kerja pembangunan kawasan,” katanya.
Tambah beliau, PRK tidak sama dengan situasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kerana tidak tahu siapa yang menjadi kerajaan.
“Tetapi ketika ini kita sudah tahu parti mana yang menjadi kerajaan di negeri. Oleh itu sangat pelik jika ada yang memilih calon pembangkang.
“Justeru itu, tidak kira pengundi baharu atau lama, mereka harus lebih bijak dalam menentukan wakil rakyat di DUN Ayer Kuning nanti,” ujar beliau.
Pada PRU15, Allahyarham Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi dengan memperolehi 9,908 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru.
Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), Perikatan Nasional (PN) (6,812), Parti Pejuang Tanah Air (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).





