KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan bot pemintas berteknologi tinggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menerusi Royal Boat Hangar Johor di Pos Maritim Teluk Gading, Rompin semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, baginda perkenan mengurniakan bot itu untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara.
Katanya, kurniaan itu mencerminkan keprihatinan baginda terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang ancaman jenayah maritim.
“Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac lalu dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkat keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bot IC 1170CC itu mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter serta dilengkapi enjin berkuasa tinggi membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot, manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot.
Reka bentuk dalaman bot itu turut diubah suai secara khusus untuk memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi.
Ia juga dilengkapi `Aluminium Trailer’ membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi serta memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera.
Dibina berasaskan kejuruteraan moden, bot itu direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum menjadikannya asset strategik dalam usaha memperkukuhkan keselamatan perairan negara.





