LA PAZ – Sekurang-kurangnya 37 orang maut – termasuk empat kanak-kanak – selepas dua bas dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di sebuah lebuh raya di selatan Bolivia, semalam.
Pegawai Polis Bolivia, Kolonel Wilson Flores berkata, setakat ini pihaknya mengesahkan 37 orang penumpang bas terbabit maut di lokasi kejadian di bandar Uyuni dalam wilayah Potosi.
“Dalam kemaskini terbaharu, seramai 41 orang lagi cedera dan sudah dihantar ke hospital,” katanya.
Mangsa terkorban membabitkan sekurang-kurangnya dua warga asing, seorang wanita Peru berusia 80 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan Jerman berusia 3 tahun.
Tiga lagi mangsa kanak-kanak masing-masing berusia 13, 15 dan 17 tahun.
Kemalangan itu berlaku di jalan sempit dua lorong pada awal pagi semalam.
Difahamkan salah satu bas sedang dalam perjalanan ke bandar Oruro, yang menjadi lokasi perayaan Karnival Oruro hujung minggu ini iaitu antara festival terbesar di Amerika Latin yang menarik puluhan ribu pengunjung.
Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui, namun polis memaklumkan bahawa salah satu bas memasuki lorong bertentangan.
Jalan pergunungan yang berliku di Bolivia sememangnya terkenal dengan tahap bahaya yang tinggi.
Menurut data kerajaan, kemalangan jalan raya mengorbankan purata 1,400 nyawa setiap tahun di negara yang mempunyai kira-kira 12 juta penduduk itu.







