RANG Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 akhirnya terpahat dalam Perlembagaan negara setelah lima dekad menanti.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop menyifatkan Majlis Media Malaysia ini akan membuka dimensi baharu antara media dan pihak kerajaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Madani di bawah YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan juga YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi serta YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi atas usaha merealisasikan hasrat ini.
“Melalui RUU MMM ini akan memperkukuhkan lagi dasar keterbukaan, akauntabiliti, dan tadbir urus baik, selaras dengan prinsip ketelusan, kebebasan bersuara, dan keadilan sosial di bawah Kerajaan Madani.
“Dengan memanfaatkan RUU ini secara bijak, Kerajaan Madani boleh memperkukuh sistem demokrasi di Malaysia dan membina hubungan yang lebih kukuh antara media, rakyat, dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Semalam, Parlimen Malaysia telah melakarkan sejarah apabila meluluskan RUU MMM ini.
RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua, semalam, Nie Ching berkata, RUU itu digubal dengan hasrat industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia.
Katanya, cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaras tadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan sejak 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan sejak itu, kerajaan menerima pelbagai cadangan berbentuk serupa daripada industri media.
Antara fakta menarik yang menarik terkandung dalam RUU MMM ini ialah memastikan media tidak digunakan untuk kepentingan politik sempit tetapi sebagai platform untuk pembangunan negara.
Selain itu RUU MMM ini dapat mengelakkan manipulasi berita palsu yang menggugat keamanan dan keharmonian negara dapat dikurangkan.
RUU ini juga mewujudkan saluran rasmi untuk menegur dan memperbetulkan laporan yang tidak benar tanpa menyekat kebebasan media tersedia sekali gus memastikan media lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu nasional.
Mengenai hak asasi media, RUU MMM ini mengutamakan hak asasi manusia (pengamal media) kepada ancaman, gangguan dan tindakan tidak adil dan memberikan kebebasan untuk melaporkan berita secara objektif tanpa rasa takut atau tekanan.





