KUANTAN – Kerajaan Pahang bersedia mempertimbangkan permohonan daripada Pertubuhan Ladang Negeri Pahang (PASFA) untuk membuka ladang kelapa di negeri ini sekiranya terdapat keperluan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permintaan terhadap kelapa semakin meningkat menjadikan cadangan tersebut wajar untuk dipertimbangkan.
“Insya-Allah, kita akan beri pertimbangan kerana permintaan terhadap kelapa memang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan dividen ladang usahasama ontegrasi lembu dan sawit Projek Pembangunan Rakyat Termiskin Bukit Gayong kepada peserta E-Kasih di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, petang semalam.
Seramai 500 peserta menerima bayaran dividen pada majlis itu.
Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang juga akan memberi perhatian kepada permohonan lain dikemukakan PASFA.
Jelasnya, agensi tersebut berjaya memanfaatkan sumber dan tanah diperuntukkan kerajaan negeri untuk pelbagai jenis penanaman.
“PASFA tidak pernah gagal dan mereka berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk penanaman nanas, penternakan lembu serta kelapa sawit.
“Oleh sebab itu, jika terdapat sebarang permohonan daripada PASFA, kita beri pertimbangan sehabis baik, kerana faedahnya akan dinikmati kepada ramai orang, ia bukannya berbentuk kepada individu,” ujarnya.






