
KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kudat menahan 10 orang nelayan atas kesalahan menarik pukat tunda kurang tiga batu nautika dari daratan, di sini pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kesemua nelayan itu mengendalikan dua bot yang terdiri daripada dua warganegara tempatan (tekong) dan lapan orang warga Indonesia yang kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, penahanan terhadap kedua-dua bot terbabit adalah hasil maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah, pada awal pagi sebelum itu.
“Bertindak atas laporan itu, aset ronda Zon Maritim Kudat segera ke lokasi dan mendapati sebuah bot pukat tunda berjaya dikesan di kedudukan sekitar 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Tambuluran.
“Manakala sebuah lagi bot sama dikesan di lokasi sekitar 0.88 batu nautika barat laut Tanjung Bangau, keduanya melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan berhampiran daratan.
“Hasil pemeriksaan, kedua bot terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menarik pukat tunda kurang tiga batu nautika daripada daratan dan kes disiasat di bawah akta tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Hasbullah lagi, kedua-dua bot bersama semua kru yang berumur dalam lingkungan 27 hingga 56 seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, Maritim Malaysia juga memohon bantuan orang ramai untuk melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada pihaknya di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.





