
JERANTUT – Penduduk FELDA Jengka 24, berpeluang menikmati juadah percuma hasil inisiatif Juadah Makmur sumbangan Kerajaan Pahang selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sobirin, di sini, hari ini.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas sumbangan juadah berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Haris Salleh Hamzah serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman yang menjayakan pengagihan juadah berkenaan.
“Alhamdulillah, rezeki Juadah Makmur sumbangan Menteri Besar Pahang dapat dinikmati penduduk FELDA Jengka 24, khususnya mereka yang hadir menunaikan solat Jumaat hari ini.
“Terima kasih kepada Tok Wan, YB Haris dan Norsarfinaz Mohd Azman atas sumbangan serta keprihatinan kepada warga FELDA Jengka 24,” katanya.

Program Juadah Makmur diperkenalkan Kerajaan Pahang pada 9 Disember 2022 sebagai inisiatif berkongsi rezeki dengan rakyat menerusi pengagihan makanan percuma selepas solat Jumaat di masjid terpilih seluruh negeri.
Inisiatif cetusan idea Wan Rosdy itu turut diperluaskan kepada jabatan kerajaan dan organisasi tertentu secara bergilir-gilir, selain memberi manfaat kepada pengusaha makanan serta pembekal bahan mentah tempatan.
Program berkenaan mencerminkan usaha Kerajaan Negeri menyantuni rakyat, mengeratkan hubungan masyarakat dengan kepimpinan serta memastikan kemakmuran negeri dapat dikongsi bersama.


