Menteri Agama
PUTRAJAYA – Malaysia tidak terkesan dengan peraturan baharu kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kanak-kanak menyertai musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, hal ini kerana Tabung Haji (TH) menetapkan had umur 15 tahun ke atas sahaja layak menunaikan ibadah haji.
“Kalau kita tengok pengumuman tersebut, larangan itu terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Dalam konteks kita (Malaysia), memang dah tetapkan umur baligh iaitu 15 tahun.
“Dengan umur ditetapkan TH, tawaran (haji) iaitu menawarkan (haji) kepada jemaah haji yang layak paling kecil 15 tahun, jadi mereka ini tidak terkesan dengan peraturan baharu yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi,” katanya selepas satu majlis di ibu negara, hari ini.
Beliau mengulas laporan media antarabangsa mengenai peraturan baharu Arab Saudi yang tidak membenarkan kanak-kanak menyertai jemaah haji ke Tanah Suci tahun ini.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyatakan bahawa langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko bahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.
Mohd Na’im berkata, bagaimanapun, Malaysia menghormati peraturan itu dan percaya kerajaan Arab Saudi melakukan kajian terperinci mengenainya.


