TUJUAN sekolah politik UMNO ditubuhkan adalah untuk membina pelapis kepimpinan baharu yang berkualiti, bukan seperti bekas veteran parti itu, Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, jika Pas ada sekolah politik Annuar perlu menjadi pelajar baharu di sekolah tersebut.
“Betulkah Annuar Musa memperlekeh Sekolah Politik UMNO? Dia kata buat 100 sekolah politik sekali pun ia tidak berfaedah selagi Zahid memimpin. Katanya posting itu sudah dipadam.
“Sekolah politik UMNO ditubuhkan untuk membina pelapis kepimpinan baharu yang berkualiti. Bukan kualiti macam Annuar Musa. Dia perosak yang nyaris menjahanamkan UMNO.
“Kalau Pas ada sekolah politik Annuar wajib jadi pelajar baharu. Tetapi jangan guna silibus lama. Takut jadi macam YB Razman (Gunung Semanggol) dan YB Awang Hashim (Pendang). Cakap hentam keromo,” katanya di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO mengkritik tindakan UMNO yang menubuhkan Sekolah Patriotik.
Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata, “Boleh buka seratus ‘sekolah politik’, tapi kerana satu pemimpin buat kerosakan, kehancuran tetap mendatang”.
Mohd Puad berkata, jika Annuar kembali kepada UMNO wajib memasuki sekolah politik untuk memperbaiki semangat setiakawan dalam parti.
“Kalau Annuar kembali masuk UMNO dia mesti disekolahkan di sekolah politik UMNO ini untuk memulihkan semangat berjamaah beliau,” katanya.








