
SANDAKAN – Penduduk di kawasan rumah pangsa empat tingkat di Karamunting menghadapi masalah serius bekalan air menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba pada Rabu depan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, keadaan ini memberi kesan besar kepada warga emas dan keluarga yang tinggal di tingkat atas kerana mereka tidak mampu membeli pam air.
“Akibatnya, berlaku ketegangan dalam kalangan penduduk apabila mereka berebut untuk mendapatkan air.
“Penduduk yang tidak mempunyai pam air hanya bergantung pada paip air yang berada di bawah dan bekalan airnya sangat terhad.
“Saya merayu agar Jabatan Air dan kontraktor konsesi bertimbang rasa dengan masalah dihadapi oleh penduduk, terutamanya menjelang Tahun Baru Cina dan cuti sekolah yang panjang,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Katanya, walaupun beberapa penghantaran lori tangki air dilakukan dalam beberapa hari kebelakangan ini namun itu bukanlah penyelesaian jangka panjang yang dicari oleh penduduk.
Sehubungan itu, penduduk berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera, bagi memastikan mereka dapat menyambut perayaan Tahun Baru Cina dengan tenang.
Sementara itu, surat rayuan sekali lagi ditulis kepada Menteri Kerja Raya dan Ketua Menteri Sabah untuk menyelesaikan masalah bekalan air ini agar isu ini tidak berlarutan sehingga Hari Raya Aidilfitri.






