DATUK Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas pelantikan rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Trump bagi memperkukuhkan hubungan, saling melengkapi dan melihat ke hadapan antara Malaysia dengan AS.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri turut mengundang Presiden itu ke Malaysia, sekali gus mengesahkan semula pembabitan baharu AS dengan rantau ini.
“Presiden Trump membawa pendekatan unik kepada menangani cabaran domestik dan global, dibuktikan oleh peranan pentingnya dalam membantu (pelaksanaan) gencatan senjata di Gaza, malah sebelum pelantikan rasmi beliau.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam keutamaan bersama tatkala pentadbiran Trump berusaha melakar zaman kegemilangan baharu bagi Amerika,” kata Anwar melalui hantaran di platform media sosial X.
Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS untuk kali kedua pada Isnin.






