POLIS mengesahkan lelaki yang berpakaian ala mumia di sekitar Sungai Besar merupakan lelaki tidak siuman dan mempunyai masalah mental.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Robin Guha Thakurta berkata, polis berjaya menahan suspek berusia 25 tahun itu di sekitar Parit 6, Sungai Besar, selepas menerima maklumat dari orang ramai kira-kira pukul 10 pagi semalam.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengalami masalah gangguan mental.
“Dia kemudian dibawa ke Hospital Sabak Bernam bagi rawatan lanjut dengan ditemani warisnya,” katanya dipetik Sinar Harian.
Robin berkata, orang ramai diminta supaya terus menghubungi polis dan menyalurkan maklumat sekiranya mendapati sebarang kejadian yang menimbulkan kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan lelaki berpakaian ‘mumia’ berjalan kaki di sekitar Sungai Besar hingga mencetuskan perhatian orang ramai.



