KUANTAN – Kira-kira 10,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan anak golongan asnaf dan miskin di Pahang layak menerima bantuan peralatan persekolahan bernilai RM200 seorang.
Bantuan sama diberikan kepada kira-kira 3,000 murid pra sekolah, masing-masing menerima RM150.
Bantuan itu disediakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi meringankan beban 20,000 ketua isi rumah golongan asnaf yang berdaftar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan sesi 2025.
Katanya, jumlah peruntukan berkenaan bertambah 100 peratus berbanding tahun lalu.
Setiap murid pra sekolah menerima RM150, pelajar sekolah rendah dan menengah masing-masing menerima RM200.
“Ketua isi rumah yang berdaftar dengan MUIP sebagai asnaf dan miskin perlu membuat permohonan bantuan persekolahan secara atas talian yang disediakan. Tarikh tutup permohonan pada 15 Februari depan.
“Tarikh tutup menebus atau mengambil peralatan persekolahan seperti pakaian, kasut termasuk alat tulis yang disediakan MUIP selewat-lewatnya 30 Mac,” katanya.
Beliau berkata, kali ini MUIP memilih pasaraya Sakan sebagai pembekal peralatan persekolahan kerana pasar raya itu beroperasi di 12 daerah di negeri ini.
Faktor berkenaan memudahkan golongan asnaf dan miskin mendapatkan barang diperlukan.




