200 tahanan Palestin dibebas, pertukaran dengan empat askar wanita Israel

RAMALLAH – Israel dijangka akan membebaskan 200 tahanan Palestin, termasuk mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan hukuman jangka panjang, sebagai pertukaran untuk empat askar wanita Israel, yang akan dibebaskan pada hari Ahad depan (26 Jan), menurut seorang pegawai Hamas pada Isnin.

Kenyataan itu dibuat oleh Nader Fakhouri, pegawai media yang bertanggungjawab di Pejabat Syuhada, Cedera, dan Tahanan Hamas, dan dikeluarkan oleh Pejabat Media Tahanan yang bersekutu dengan Hamas, lapor Agensi Anadolu.

Fakhouri menjelaskan bahawa bahagian kedua fasa pertama perjanjian puak perjuangan Palestin dengan penjajah Israel akan bermula pada hari Sabtu, 25 Januari.

“Pada Sabtu nanti, pihak Hamas akan mengumumkan nama-nama tahanan Israel yang akan dibebaskan, dan sebagai balasan, penjajah (Israel) akan memberikan senarai nama tahanan Palestin yang akan dibebaskan,” tambahnya.

Menurut Fakhouri, berdasarkan kedua-dua senarai tersebut, pelaksanaan sebenar akan berlaku pada Ahad, 26 Januari, dengan pembebasan tahanan Palestin dan penyerahan tahanan Israel.

Perjanjian itu menetapkan bahawa setiap seorang askar wanita Israel bersamaan dengan 30 orang tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 20 yang menjalani hukuman jangka panjang, jelasnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa jika bilangan askar wanita Israel kurang, bilangan tahanan Palestin yang dibebaskan juga akan berkurangan, dan berhubung dengan penghantaran ke luar negara, beliau menyatakan bahawa Mesir akan menjadi salah satu destinasi pada peringkat ini.

Pada pagi Ahad, perjanjian gencatan senjata di Gaza mula berkuat kuasa, dan fasa pertama dijadualkan berlangsung selama 42 hari, di mana rundingan akan diadakan untuk fasa kedua dan ketiga, dengan pengantaraan Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat.

Di bawah perjanjian tersebut, Hamas telah membebaskan tiga wanita Israel sebagai pertukaran dengan 90 tahanan Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Secara keseluruhan, Israel kini menahan lebih daripada 10,300 tahanan Palestin, sementara dianggarkan 96 tahanan Israel ditahan di Gaza, dengan Hamas melaporkan bahawa puluhan daripada mereka telah terbunuh dalam serangan udara Israel yang tidak terkawal.

Hampir 47,000 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih daripada 110,700 cedera dalam perang genosid Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Perang Israel telah menyebabkan lebih daripada 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang telah meragut banyak nyawa warga emas dan kanak-kanak dalam salah satu bencana kemanusiaan global terburuk.

Related Posts

ASEAN kekal utuh hadapi cabaran global

CEBU – ASEAN terus menunjukkan keteguhan dalam menghadapi pelbagai cabaran global apabila krisis dan ketidaktentuan semasa tidak melemahkan blok serantau itu, sebaliknya mempererat kerjasama antara negara anggota. Presiden Filipina, Ferdinand…

Lebih lanjut

teruskan membaca
China enggan layan sekatan AS terhadap 5 syarikat beli minyak Iran

BEIJING – China menegaskan tidak akan mematuhi sekatan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap lima syarikatnya yang didakwa membeli minyak dari Iran. Kementerian Perdagangan China dalam kenyataan hari ini, berkata tindakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat