
PENGHANTARAN bantuan kemanusiaan melibatkan barangan keperluan asas dan makanan ke Semenanjung Gaza perlu disegerakan ketika gencatan senjata yang sedang berlangsung bagi menyelamatkan nyawa lebih 2 juta penduduk yang bergantung kepada bantuan tersebut, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut jurucakap PBB, Farhan Haq, Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) sedang mempercepatkan penghantaran keperluan kritikal, termasuk makanan, tempat tinggal, air bersih, dan bekalan penting lain.
Haq menegaskan bahawa kanak-kanak merupakan hampir separuh daripada penduduk Gaza malah majoriti daripada mereka hanya makan satu hidangan sehari, lapor Agensi Anadolu.
“Rakan kongsi kami yang bekerja dalam kebajikan kanak-kanak mengatakan bahawa penyediaan makanan, air, dan bekalan perubatan menjadi keutamaan,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Haq melaporkan pelan 60 hari untuk meningkatkan kapasiti katil di beberapa hospital di utara dan selatan serta menempatkan pekerja kesihatan profesional dari luar negara.
Ketika ditanya tentang rompakan atau ketidakstabilan semasa penghantaran bantuan kemanusiaan, Haq menyifatkan situasi semasa masih dalam keadaan baik.
“Kami tidak menghadapi masalah besar berkaitan keganasan atau rompakan untuk dilaporkan malah situasi terkini agak tidak menentu dan PBB sedang melakukan bahagian mereka untuk menghantar bantuan,” katanya.
Selain itu, sebanyak 634 trak yang membawa bantuan kemanusiaan telah memasuki Semenanjung Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata sejak Ahad, menurut sumber Palestin pada Isnin.
“Kira-kira 310 trak bantuan tiba di utara Gaza, termasuk bahan bakar, bekalan perubatan, bekalan makanan, sayur-sayuran, dan buah-buahan, manakala 324 trak tiba di selatan Gaza,” kata sumber dari Kementerian Dalam Negeri Gaza.
Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan berkuat kuasa di Gaza pada Ahad (19 Jan), sekaligus menggantung perang genosid Israel terhadap wilayah tersebut yang telah berlangsung sejak 7 Oktober 2023.
Di bawah perjanjian itu, kira-kira 600 trak bantuan akan dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari bersama dengan pembukaan semula lintasan Rafah di Gaza dengan Mesir pada hari ketujuh perjanjian tersebut.
Perjanjian tiga fasa ini merangkumi pertukaran tahanan dan keamanan berterusan, dengan matlamat untuk mencapai gencatan senjata kekal serta pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Hampir 47,000 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih daripada 110,700 cedera dalam serangan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel telah menyebabkan lebih daripada 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang telah meragut banyak nyawa warga emas dan kanak-kanak dalam salah satu bencana kemanusiaan global terburuk.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada bulan November terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang ke atas wilayah tersebut.




