
ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasakan kebajikan dan pembangunan pelajarnya dengan pelancaran Tabung Dedikasi Diri 2024 di Kampus Alam Pauh Putra, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, tabung ini dirangka khusus untuk memberi sokongan kewangan dan membangunkan kemahiran penting dalam kalangan pelajar terpilih.
“Seramai 20 pelajar telah dipilih menyertai program ini yang bukan sahaja menawarkan ruang untuk berkhidmat kepada universiti, malah memberi imbuhan bagi meringankan beban kewangan mereka,” katanya.
Menurut beliau, pelajar yang terpilih akan menyertai program berstruktur yang disesuaikan dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing. Ia turut membangunkan elemen penting seperti kepimpinan, pengurusan masa, dan komunikasi yang efektif.
“Saya menyeru pelajar yang terlibat supaya memanfaatkan peluang ini dengan penuh dedikasi dan disiplin. Program ini adalah batu loncatan untuk membentuk generasi pelajar yang cemerlang, berdikari, dan berdaya saing,” jelasnya.
Tambah beliau, Tabung Dedikasi Diri 2024 juga mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif dengan memberi pengalaman melalui tugasan di pelbagai pusat tanggungjawab.
“Program ini bukan hanya meringankan beban pelajar terpilih, tetapi turut memberi inspirasi kepada seluruh komuniti kampus untuk terus melangkah maju,” ujarnya.
Menurut Mustafa, pelancaran tabung itu turut mencerminkan komitmen UniMAP dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga unggul di peringkat global.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing, sekaligus mengukuhkan kedudukan UniMAP sebagai institusi pendidikan terkemuka,” katanya.







