
IPOH – Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) dipasang di lima lokasi dikenal pasti kawasan ‘hotspot’ pembungan sampah haram di Bandaraya Ipoh sejak pertengahan bulan Disember tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata, inisiatif yang pertama seumpanya dalam negara ini bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Pemasangan tersebut melibatkan lokasi di Pasar Gunung Rapat, Halaman Ampang Mewah, Persiaran Wira Jaya Timur 50, Jalan Desa Ampang dan Jalan Harilela A1.
Ujarnya, projek bernilai RM50,000 ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Simpang Pulai.
“Ia bukan CCTV biasa tetapi berteknologi AI.
“Bukan sahaja membolehkan pemantauan dilakukan secara langsung, malah turut dilengkapi dengan keupayaan mengenal pasti perbuatan pembuangan sampah secara haram.
“Selain dapat mengenal pasti individu atau kenderaan yang terlibat,” katanya.

Jelas Chai Yi, CCTV ini akan ‘zoom in’ secara jelas tidak kira waktu siang atau malam waima ketika waktu hujan.
“Maklumat yang diperolehi akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan, pihaknya turut menerima maklum balas yang memberansangkan daripada penduduk setempat setelah CCTV dipasang.
“Kami mendapat reaksi positif daripada penduduk mengatakan pengurangan sampah secara drastik melibatkan kelima-lima lokasi tersebut.
“Harap usaha ini dapat membanteras sampah haram dan memberi kesedaran kepada semua agar membuang sampah di tempat sepatutnya,” katanya.
Setakat ini terdapat lima kes sampah haram yang telah dikenal pasti melalui laporan CCTV sejak beroperasi.
Bahkan, ujar Chai Yi, pihaknya turut menerima permohonan agar CCTV sama dipasang di lokasi berlainan terutama yang menjadi kawasan pembuangan sampah haram.







